Friday, November 23, 2007

Menambah Pengetahuan Melalui Pembacaan

Ramai mengatakan bahwa dengan membaca kita dapat meluaskan pengetahuan. Memang ianya benar dan tidak wajar untuk disangkal. Satu ketika dahulu, membaca sememangnya perkara pokok dalam mengetahui sesuatu perkara. Jika mereka yang tidak tahu membaca, akan mendengarlah cerita dari teman - teman. Sambil minum di kedai kopi, ceritera atau peristiwa yang terjadi di sekitar mereka akan diperhebahkan disini. Walaubagaimanapun, had peristiwa yang diketahui itu ketika itu adalah terhad, hanya mungkin sekitar kampung, atau pekan atau bandar sahaja. Tetapi kini, ceritera atau peristiwa meliputi seluruh dunia dapat diketahui dengan kemajuan teknologi yang semakin maju kini.
Aku tidak lahirkan bijaksana. Cukup jika hanya mengatakan bahawa diri ini terbaik diantara mereka yang sederhana. Mujurlah aku memiliki seorang kakak yang sangat baik hati dan prihatin dimana sangat rajin membelikan aku buku - buku untuk bacaan kami adik - beradik. Kakak aku mula membelikan buku saat aku mula melangkah ke alam sekolah tadika. Pelbagai buku latihan yang dibelikan untuk aku menjadi bijak. Dan aku sangat lurus dalam hal ini, sentiasa menyiapkan latihan - latihan tersebut sedangkan hanya pelajar sekolah tadika sahaja. Kenapa perlu tertekan? Kadang kala timbul rasa bersalah jika tidak sentuh buku - buku tersebut dalam satu hari itu. Kenapa kan? Mungkin kerana kami berasal dari keluarga yang susah, jadi buku yang dibeli itu amat berharga nilainya dan manfaat kepada kami adik beradik.
Apabila aku berada di sekolah rendah(1994),aku darjah 4, bahan bacaan aku bertukar kepada buku yang tebal sedikit. Siri Hadi iaitu salah satu dari buku penyiasatan yang amat popular ketika itu menjadi bahan bacaan aku sehingga ke sekolah menengah. Banyak koleksi buku - buku tersebut masih baik dalam simpananku kini dan ada diantaranya sudah diberikan kepada anak saudaraku.
Ketika aku berada di sekolah menengah, minat beralih kepada novel cinta. Novel ditulis oleh Ahadiat Akasyah ketika itu sangat popular terutama Lagenda Budak Setan. Setiap kali guru tidak masuk kelas, buku itulah yang menjadi santapan. Kadang kala sewaktu guru sedang mengajar pun masih sempat diintai novel tersebut gara - gara tidak sabar nak ketahui penamat atau kesudahan cerita. Sewaktu disekolah menengah, aku tidak memiliki sebarang koleksi buku yang boleh diceritakan atau dikongsikan disini. Biasalah, pelajar sekolah menengah bukannya ada duit untuk beli novel atau apa - apapun. Lebih baik beli buku rujukan dan latihan. Namun yang penting, langganan dewan siswa setiap bulan adalah amat ditunggu. Aku suka sangat baca cerpen - cerpen hasil nukilan pelajar didalam majalah tersebut. Dan yang penting, cerpen aku pernah tersiar didalammya. Itu yang aku suka..!
Aku mula memiliki koleksi buku terutamanya novel ketika berada di intitut pengajian tinggi. Kali pertama mempunyai sebuah novel, masih belum menimbulkan sebarang perasaan gembira, bangga, seronok dan pelbagai. Akan tetapi, ia berubah apabila memiliki koleksi yang kedua. Sangat teruja apabila melihat novel-novel itu tersusun kemas di dalam loker asrama aku. Aku jadi tidak sabar memiliki novel seterusnya. Setiap bulan aku akan membeli satu novel untuk bahan bacaan dan seterusnya menjadi koleksi aku.
Kini, koleksi itu menjadi kebanggaan dan kegembiraan diri sendiri. Gembira seolah itu adalah harta yang amat bernilai. Aku jarang sekali mengizinkan orang lain pinjam buku itu untuk jangka masa yang lama. Aku hanya membenarkan mereka yang benar - benar minat membaca kerana mereka tidak akan mengambil lebih dua hari untuk habis membaca sebuah novel.
Membacalah apa sahaja yang kita terlihat walau ia hanya papan iklan di tepi jalan!


Yakin dgn diri sendiri. Kita sahaja yang tahu kebolehan kita tetapi dgn keyakinan yang ada, lebih dari tahap kita orang menilai.

masuliza / 23.11.07

No comments: